Sunday, May 05, 2013

Surat Terbuka Buat Danial

Salam sayang,  

Jam ditangan sudah lewat, kurang 20 minit ke jam dua pagi. Pagi ini bukan pagi yang biasa kerana pagi ini bakal penentu buat ayah dan mereka, ini kalilah atau kekal begini.   Tidak pernah ayah gusar begini menghadapi hari penentu, segusar hari kamu dilahirkan di hospital swasta di Shah Alam 10 tahun yang lalu. Ayah pilih hospital itu kerna ayah mahu yang terbaik untuk kamu biarpun berhabisan kantung wang ayah untuk saat itu. Mungkin ada hospital kerajaan yang lebih murah tapi senyuman tawar dan kesesakan manusia di sana barangkali kurang selesa buat Mama.  

Doktor Melayu yang menyambut kamu hari itu tidak sekali pun menanyakan berkenaan kemampuan ayah untuk membayar, yang penting baginya ayah bayar. Dari sijil yang tergantung di dinding bilik hawa dingin Dr itu, tertera singkatan UKM, tanda ijazahnya dari sana. Bangga ayah kerna Melayu sudah berjaya, tapi kenapa bayarannya sama dengan Doktor Cina dan India masih jadi tanda tanya.  

Bagaimana dengan sekolah? Ingat pesan ayah, belajar rajin-rajin biar penuh ilmu didada, besar nanti boleh bantu orang, bukan semata-mata sebab wang. Jadilah apa yang kamu mahu asalkan ianya tidak salah dari mata agama dan usahalah agar kamu jadi sehabis baik jika tidak yang terbaik dalam apa jua yang kamu pilih.   Kita orang Melayu, ada adat dan ada budaya, ada yang elok dan ada yang sia-sia. Namun yang lebih penting kita ada agama dan Islam namanya. Itu yang lagi utama dari bangsa kerna itulah landasan untuk ke syurga yang kekal selamanya.

  Cina, India, Iban dan bangsa yang lain jangan sekali kamu lupa apatah lagi kamu hina. Mereka juga tanggungjawab kita, susah senang harus bersama. Insya-Allah dengan hidayah dan dakwah kamu, Islam bakal jadi pilihan mereka tapi jangan sekali-kali kamu paksa agama atas mereka.   Pagi nanti ayah bakal mengundi pilihan hati, untuk pilih siapa yang ayah rasa mampu untuk memimpin kita. Pilihan ayah mungkin betul mungkin tidak, tapi yang penting pertimbangan waras ayah disudahi dengan tawakal kepada Allah. Harapnya, negara tidak dilanda musibah.  

Ingat tak lagi soalan kamu pasal handicap dalam golf? Sampai hari ini ayah tak terjawab, namun pagi ini ayah rasa ayah bersedia dan jawapan ini ayah jumpa semasa ayah membaca cerita tentang Tun Dr Ismail. Katanya, handicap ini diberi kepada pemain golf baru yang ingin bermain dengan pemain yang lebih handal agar mereka bersaing dan tidaklah kalah teruk. Namun jika selama-lamanya kamu diberi kelebihan barangkali kamu harus rasa malu untuk bermain kerna kamu tidak pernah maju. Oleh itu jadikanlah handicap itu sebagai cabaran dan bukan kelebihan. Begitulah juga ertinya Bumiputera buat kamu dan ayah.

  Pagi ini ayah mahu mohon maaf sekiranya pilihan ayah di peti undi nanti bakal menyusahkan kamu, percayalah itu bukan matlamatnya. Sebagai ayah, tiada apa yang lebih penting dari kejayaan anaknya di dunia dan akhirat.  

Salam Sayang

Ayah.



Add to Blink Add to Furl Add the post to Technorati Favourites Add to Simpy Add to Spurl Add to Yahoo MyWeb Add to del.icio.us Add to Digg It Social bookmark this!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home